Walaupun pelbagai fesyen tudung mahupun hijab yang boleh ditemui sekarang, populariti tudung bawal atau tudung segi empat ini masih lagi kekal sehingga kini. Malah, ramai fesyenista Muslimah yang mencintai tudung klasik ini telah memberikan idea yang sangat kreatif dalam menggayakan tudung bawal seperti memakai selendang.
Sekiranya anda beralih dan bertukar menjadi seorang pencinta selendang daripada seorang pemakai tudung bawal, jangan buang koleksi tudung tersebut kerana ia juga boleh digayakan seperti memakai selendang. Tutorial pada kali ini akan menunjukkan kepada para Muslimah di luar sana cara lain menggayakan tudung bawal seperti selendang. Ia bukan sahaja mudah, malah mengambil masa yang ringkas dan hasilnya juga amat menakjubkan! Tidak perlu membuang masa lagi, mari kita lihat cara-caranya.
LANGKAH-LANGKAH
1)Letakkan tudung bawal atas kepala dan mulakan dengan langkah asas memakai selendang iaitu membahagikannya kepada bahagian yang panjang dan pendek. Terpulang kepada anda untuk menentukannya sama ada di sebelah kiri atau kanan. Kemudian sematkan kerongsang di bawah dagu.
2)ambil bahagian hujung tudung yang panjang dan bawakan ke sebelah kiri sehingga ke bahagian atas kepala anda.
3)Lilitkan dengan kemas dan pastikan tiada kedutan mahupun lipatan untuk hasil yang cantik. Pastikan lilitan itu tidak terlalu ketat dan longgar untuk keselesaan anda. Kemudian, sematkan jarum peniti di bahagian atas kepala
4)Sebelum ke langkah seterusnya, betulkan alunan selendang yang terbentuk untuk efek yang cantik dan kemas. Ambil bahagian belakang tudung bawal dan bawa ke bahagian hadapan.
5)Pada langkah ini, anda harus mendapat hasil seperti di dalam gambar. Anda bolehlah betulkan-betulkan alunan yang terbentuk tadi untuk efek yang lebih kemas dan cantik. Setelah puas hati, sematkan jarum peniti di bahagian kedua-dua tepi kepala dengan kemas.
6)Pada langkah ini, satu lipatan akan dilakukan untuk mencantikkan visual gaya tudung ini.
7)Kemaskan dan kemudian sematkan jarum peniti dengan kemas.
8)Kemaskan tudung dan alunannya sebagai langkah terakhir anda.
Melihat kepada gaya ini, tiada sesiapa sangka yang ia menggunakan tudung bawal, bukannya selendang. Sedikit sukar untuk dipercayai, tapi percayalah hanya dengan sehelai tudung bawal ataupun tudung segi empat ini anda juga mampu tampil bergaya dan eksklusif seperti memakai selendang
No comments:
Post a Comment